Jumaat, 10 Mei 2013

Rawatan Penyakit Skizofrenia


Tiada jalan mudah dalam rawatan skizofernia walaupun terdapat  banyak cara untuk sembuh  namun tidak ada satu cara yang berkesan ke atas semua kes jika dilakukan secara bersendirian. Apabila seseorang mengalami penyakit mental, mereka perlu menjalani penilaian oleh kakitangan kesihatan. Maklumat secara langsung  dan tepat dapat membantu kakitangan kesihatan dalam menentukan  dan merancang jenis rawatan dengan tepat. Sebahagian besar daripada mereka dapat dirawat sebagai pesakit luar tanpa memerlukan kemasukan ke hospital atau institusi mental.Terdapat berbagai jenis rawatan yang boleh diaplikasikan kepada pesakit dan rawatan segera perlu diberikan agar mereka dapat pulih dengan cepat.Terdapat berbagai jenis rawatan yang boleh digunakan untuk merawat penyakit mental antaranya ialah:


1. PENGGUNAAN UBAT-UBATAN

Pendekatan ini merujuk pada pengambilan ubat antipsikotik iaitu dadah seperti thorazine, melaril, stelazine dan prolixin yang pada umumnya menghasilkan kesan yang sama. Ubat ini akan mengurangkan aktiviti reseptor dopamin otak yang akan dapat mengurangkan halusinasi dan delusi pesakit tetapi tidak dapat menyembuhkan penyakit ini. Menurut Mueser dan Gingerich (1995), rawatan dan ubat-ubatan untuk kecelaruan skizofrenia bermula pada tahun 1950 apabila ubatnya ditemui secara tidak sengaja semasa ahli sains membuat kajian tentang hipertekanan yang melibatkan tekanan darah tinggi.

            Ubat Anti-psikotik: Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat anti psikotik yang digunakan untuk rawatan skizofrenia. Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis seperti delusi dan halusinasi (Zuraida.2009:33). Pengambilan ubat secara teratur dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya penyakit berulang dan pesakit skizorfenia  mestilah menerima kenyataan bahawa dalam kebanyakan kes, ubat perlu diambil dalam jangka waktu yang lama ataupun seumur hidup. Sizorfernia biasanya diiringi oleh simptom-simptom lain seperti gelabah, tertekan, resah dan memerlukan ubat penenang (benzodiazepine).Ia tidak memberi kesan kepada skizofernia tetapi akan menenagkan pesakit sehingga ubat antipsikotik menunjukkan tindakan awal.

            Semasa episod psikotik skizorfernia, seseorang pesakit mungkin berasa murung. Oleh itu ubat antidepressant (kemurungan )juga mungkin diberikan kepada pesakitJika pesakit skizorfernia mengalami gangguan emosi yang tinggi (iaitu  mempunyai perasaan tinggi dan rendah) ubat menstabilkan emosi diberikan.  Manakala mereka yang mengalami kesan sampingan seperti ektrapirimidal seperti getaran tangan atau kuku, selalunya akan diberikan ubat antiparkinson untuk melawan kesan sampingan tersebut (Zuraida.2009: 36). Sebahagian ubatan jenis ini mengambil masa yang agak lama sebelum memberi kesan.



-Mengimbau kembali filem ‘A Beautiful Mind’, John Nash telah disahkan mengalami skizofernia. Alice iaitu isterinya telah membawa John Nash menemui Dr Rosen dan berbincang mengenai kaedah rawatan untuk digunakan ke atas Nash. Dr Rosen telah menggunakan ubat antipsikotik dan diberikan kepada John Nasr namun ia tidak dapat memberi kesan yang lama ke atasnya kerena akhirnya beliau berhenti dari mengambil ubat tersebut. Selepas beliau berhenti mengambil ubat tersebut halusinasi serta imaginasi turut sama muncul kembali.


2. RAWATAN ELEKTROKONVULSIF (ELECTROSHOCK THERAPY -ECT)

Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Elektrik bervoltan rendah digunakan untuk memberikan kejutan secara teraputik kepada sistem otak. Rawatan jenis ini adalah selamat, efektif dan tidak berbahaya serta biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius (O’brien Patrick.1978: 198). Sebelum rawatan dijalankan, seseorang itu akan diberi bius dan pesakit akan berasa letih dan lemah di samping ingatan mereka sedikit terjejas.



 -Di dalam filem ‘A Beautiful Mind’, kaedah ini dijalankan ke atas John Nasr disebabkan simptom skizorfenia yang dialaminya agak kritikal sehingga menyebabkannya sentiasa berada dalam delusi dan halusinasi. Oleh itu, Dr Rossen menyarankan agar rawatan elektrokonvulsif ini dilakukan sebanyak 5 kali seminggu bagi memberi kelegaan kepadanya. Namun ia tetap tidak memberi kesembuhan sepenuhnya ke atas John Nasr.



3.  KEMASUKAN KE HOSPITAL

Gangguan jiwa mempunyai pecahan penyakit seperti schizophrenia, gangguan dwipolar, kerunsingan, masalah konpulsif-obsesif, gangguan pemakanan, dementia dan kemurungan. Seseorang yang mengalami skizofrenia tanpa dirawat biasanya akanmenunjukkan pemikiran yang tidak teratur, dan mungkin mengalami delusi atau halusinasi pendengaran. (http://www.wanista.com/2012/08/kenali-sindrom-sakit-mental-dan-bagaimana-untuk-membantu/). Ketika krisis atau simptom menjadi lebih teruk, kemasukan ke hospital adalah perlu untuk memastikan keselamatan, pemakanan, tidur dan juga kebersihan terjaga. Kebiasaannya pesakit-pesakit skizofrenia ini akan tinggal di dalam hospital yang khusus bagi penyakit mental kerana tingkah laku pesakit ini kadangkala amat bahaya sehingga kepada membunuh diri. Walau bagaimanapun, jumlah pesakit yang berjaya disembuhkan amat sedikit disebabkan mereka mengalami gangguan mental yang amat serius. Namun begitu terdapat juga pesakit skizofrenia yang berjaya pulih sepenuhnya dengan gabungan rawatan dan ubat-ubatan yang diperolehi.



-Alice mendapati bahawa kelakuan Nash yang agak memencilkan diri. Beliau mengesyaki bahawa mungkin Nash mengidap penyakit tertentu. Oleh itu, John Nasr terpaksa dimasukkan ke hospital apabila tingkahlakunya yang sentiasa dipengaruhi dengan halusinasi dan delusi menyebabkannya berada dalam khayalan dan memerlukan kepada perhatian doktor. Selain itu, beliau juga sanggup mencederakan dirinya dengan melukakan lengannya disebabkan halusinasinya yang menganggap wujudnya kod rahsia yang disimpan di situ.



4.  TERAPI PSIKOLOGI DAN SOSIAL

Psikoterapi melibatkan penggunaan teknik psikologi kepada pesakit. Ahli profesional yang mengendalikan psikoterapi adalah seperti ahli psikologi, pekerja sosial dan jururawat yang berpengalaman. Psikoterapi digunakan bersama-sama dengan ubat-ubatan. Kebanyakan pakar meyakini program pemulihan semakin berkesan jika program ini melibatkan gabungan psikoterapi dan penggunaan ubat-ubatan antipsikotik.Terapi sebegini boleh dijalankan di hospital, linik pesakit luar, pusat kesihatan mental dan pusat rehabilitasi ( satu proses yang berterusan untuk mengembangkan keupayaan seseorangg pesakit akibat sesuatu peristiwa yang berlaku atau kecederaan).

   Kaedah terapi psikososial digunakan untuk meningkatkan kebolehan sosial, keupayaan diri, kemahiran praktikal dan komunikasi dengan orang lain daripada kalangan pesakit skizofernia. Matlamatnya untuk membolehkan seseorang pesakit yang mengalami penyakit yang kronik mengembangkan kemahiran sosial dan vokasional agar boleh hidup berdikari.

          a.      TERAPI KELUARGA ATAU BERKUMPULAN

Keluarga merupakan insan  yang paling dekat dengan pesakit dan kehadiran mereka adalah sumber kekuatan yang dapat memberi kelegaan dan kesembuhan dalam jangka masa yang panjang. Menurut Nevid, et al. (2000) anggota keluarga mampu untuk memainkan peranan yang paling berkesan sebagai kumpulan sokongan. Pesakit memerlukan sokongan dan bantuan daripada keluarga.Konsep penerimaan sepenuhnya daripada anggota keluarga sendiri mampu untuk memulihkan kecelaruan kecelaruan yang dihidapi oleh pesakit. 

            Melalui terapi dalam kumpulan, pesakit boleh memperbaiki skil sosial mereka atau dalam kata lain mengikis kelakuan yang aneh dan memperbaiki cara berinteraksi dengan orang lain. Terapi ini penting agar ahli keluarga dapat mengenal serta menjauhi situasi yang boleh membuatkan pesakit berasa tertekan.Konsep penerimaan sepenuhnya daripada anggota keluarga sendiri mampu untuk memulihkan kecelaruan-kecelaruan yang dihidapi oleh pesakit.  Masyarakat sering menganggap mereka yang mengalami masalah mental ini sebagai satu ancaman dan amat merbahaya kepada keselamatan kerana akhbar sering melaporkan salah laku mereka yang menghadapi masalah ini tetapi tidak menyatakan cara untuk membantu mereka. Justeru, peranan keluarga dalam membantu pesakit amatlah diharapkan. Layanan dan kemesraan yang ditunjukkan akan memberikan pesakit keyakinan diri dan merasakan diri mereka disayangi serta dihargai.


-Selepas Nash dikeluarkan dari hospital, isterinya Alice banyak mengambil berat dan memantau kesihatannya. Alicia merupakan individu penting dalam proses kesembuhan John Nasr. Pengorbanannya dalam memahami emosi suaminya menjadikan proses ini dapat dilalui dengan sebaiknya sehingga John Nasr sembuh dari penyakit yang dihidapi hampir 3 dekad. Sokongan dan dorongan ahli keluarga dapat menyuntik semangat untuk kekal sihat dan menjalani kehidupan normal yang penuh kegembiraan dan keseronokan. Alice sangat sabar dalam melayani karenah dan perangai John Nash yang kadang-kadang turut mendatangkan tekanan padanya. Selain itu Sol sahabatnya juga pernah melawatnya di rumah dan cuba untuk menaikkan semangatnya untuk pulih normal seperti manusia lain. Doktor juga menjalankan tanggungjawabnya dalam memberi rawatan yang bersesuaian dengan pesakit.


b.   LATIHAN KEMAHIRAN SOSIAL

Latihan ini adalah pendekatan pemulihan yang berkesan dan membantu pesakit berdikari. Program pendidikan untuk keluarga bertujuan meningkatkan pemahaman tentang penyakit skizofrenia dan cara rawatannya. lni dapat membantu keluarga pesakit momperbaiki komunikasi dan kemahiran dalam penyelesaian masalah.Bagi sesetengah pesakit rawatan pemulihan melalui program bengkel terlindung dant penjagaan harian akan dapat membantu. Rawatan awal memudahkan penyakit ini sembuh dan mengekalkan fungsi diri.


c.   KAUNSELING

Kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam.Rawatan ini diberikan secara pesakit luar.Seseorang itu mungkin memerlukan beberapa sesi kaunseling sebelum mendapat kesan rawatan.Jumlah sesi kaunseling bergantung kepada jenis penyakit dan keperluan individu.Selain itu, terapi kaunseling kepada keluarga juga penting.Melalui terapi ini, keluarga tersebut dapat memahami dengan lebih mendalam berkenaan penyakit ini dan mengenal pasti sebarang perubahan pada pesakit dengan lebih cepat.Selain itu, program pendidikan untuk keluarga bertujuan meningkatkan pemahaman tentang penyakit skizofrenia dan cara rawatannya. lni dapat membantu keluarga pesakit memperbaiki komunikasi dan kemahiran dalam penyelesaian masalah.

d.   TERAPI KELAKUAN

Pendekatan ini menggunakan pendekatan sistem ekonomi yang dilakukan di hospital mental. Pesakit belajar mengenai tingkah laku yang formal seperti bagaimana mentadbir semasa mesyuarat, mempunyai perwatakan yang kemas dan sentiasa menggunakan perkataan yang sopan. Terapi ini digunakan pada pesakit-pesakit skizofernia untuk memperbaiki pemikiran yang sudah terpesong, meningkatkan daya tumpuan, dan membaiki kesilapan dalam membuat keputusan (Zuraida.2009:42). Pesakit yang beroleh keberkesanan dalam terapi adalah yang memahami dan nyata penyakit yang dialami oleh mereka.Teknik releksasi adalah merupakan satu contoh rawatan jenis ini. Jika pesakit dapat melakukannya mereka akan diberikan ganjaran sama seperti makanan, masa yang istimewa kepada mereka, mereka telah lulus ujian dan sebagainya. Kaedah rawatan ini mengurangkan delusi dan halusinasi pesakit (O’brien Patrick.1978:255). 

     Pendekatan ini adalah lebih mesra dan banyak diaplikasikan pada masa kini. Terapi memerlukan perhatian yang tinggi diberikan kepada pesakit dalam misi untuk ke arah lebih baik. Keluarga dan sahabat perlu memberikan perhatian dan perlindungan kepada pesakit kerana hanya melalui sokongan ini dapat menyembuhkan mereka daripada halusinasi dan delusi.

       Alicia memberikan sentiasa memberikan keyakinan kepada suaminya untuk berdikari. Kerjasama dari masyarakat seperti kawannya Martin Hansen yang membenarkan dia belajar semula di Princeton university.

e.   PSIKOTERAPI INDIVIDU

Psikoterapi individu adalah suatu terapi yang dapat membantu dan memberi kesan tambahan kepada rawatan ubat-ubatan. Kebolehan juruterapi seperti keluarga, sahabat dan orang awam menguasai dan memahami pesakit adalah satu cara yang dapat member kesan kepada keberkesanan rawatan ini. Manakala, kebolehan seseorang pesakit skizofernia untuk menghasilkan perhubungan yang berkesan atau ‘terapeutik’ dengan juruterapi adalah penanda kepada keberkesanan rawatan psikoterapi (Zuraida.2009:42). Untuk membina hubungan anatara pesakit dengan doktor bukanlah suatu tugas yang mudah disebabkan pesakit suka bersendirian, sukar untuk didekati, sukar mempercayai orang lain dan mudah cemas. Juruterapi perlu menghormati ruang dan privasi yang diingini oleh pesakit dan perlu memberikan arahan yang mudah, bersikap sabar, ikhlas dan sensitive dengan gelagat pesakit.Kepercayaan terhadap juruterapi perlu dibina ke atas pesakit agar mereka boleh dipercayai, memahami dan meyakini bahawa pesakit adalah seperti manusia biasa.


    Objektif psikoterapi individu ini adalah untuk meningkatkan keperibadian dan penyesuaian sosial selain mencegah daripada berulangnya penyakit. Pendekatan terapi  ini menggunakan kemahiran sosial, senaman relaksasi (ketenangan), pendidikan psikiatri, mengenal diri dan memahami kelemahan diri. Pesakit yang menjalani psikoterapi peribadi akan bertambah baik dalam penyesuaian social, termasuk dalam pekerjaan, berhibur dan perhubungannya dengan orang lain serta kadar berulangnya penyakit adalah rendah berbanding pesakit yang tidak menjalani terapi peribadi (Zuraida.2009:43).


-Dr Rossen adalah individu yang bertanggungjawab dalam misi member kesembuhan kepada John Nasr. Melalui pantauan dan nasihat Dr. Rossen, John Nasr kembali yakin untuk keluar daripada penyakitnya. Kepercayaannya terhadap Dr. Rossen membantu dia berjaya untuk mengawal halusinasi dan delusi yang dialami.

  

5       RAWATAN SUSULAN PESAKIT YANG BAIK PROGNOSIS

Selepas rawatan episode skizorfenia pertama, pesakit yang dianalisis mempunyai prognosis yang baik (dijangka akan pulih dengan cepat dan sepenuhnya) akan dirawat dengan dua keperluan utama (Zuraida.2009: 

     i. Perlu meneruskan ubat antipsikotik untuk sekurang-kurangnya     tiga bulan sebagai pesakit luar.

       ii.    Mendapatkan nasihat doctor untuk rawatan susulan.


6.       RAWATAN SUSULAN PESAKIT YANG TIDAK BAIK PROGNOSIS

Apabila dinilai kemungkinan penyakit akan berulang, rawatan berterusan diperlukan, termasuklah terus memakan ubat antipsikotik. Suntikan antipsikotik diberikan jika ubat tidak berhasil. Keperluan ubat bergantung kepada keadaan pesakit dan pantauan serta nasihat akan diberikan supaya pesakit menjauhkan daripada hal-hal yang menekan hidupnya. Masa interaksi dikurangkan jika didapati emosi ahli keluarga yang tinggi terhadap pesakit.. Pesakit digalakkan meneruskan kehidupannya dengan mendapatkan pekerjaan dan meneruskan kerjayanya (Zuraida.2009:51).


7.        RAWATAN SUSUSLAN  PESAKIT KRONIK

Apabila pesakit didapati sukar untuk bersosial dan mempunyai symptom-simptom negatif skizofernia yang kronik, rawatan yang lebih komprehensif perlu dirancang. Proses rehabilitasi perlu dijalnkan sama ada di hospital atau diluar hospital. Pengekalan ubat-ubatan sangat penting di samping program pemulihan yang besesuaian dengan pesakit.

      Rawatan adalah ibarat tongkat yang hanya dapat menyokong pesakit tetapi berjalan adalah dilakukannya sendiri. Sokongan keluarga dan rakan-rakan akan dapat membantu memulihkan pesakit.




    KESIMPULAN

Skizofernia ini adalah satu penyakit yang sebenarnya berpunca daripada masalah kegagalan fungsi otak. Disebabkan oleh masalah tersebut membuatkan pesakit skizoferni ini sering mendengar suara yang tidak didengari oleh orang lain atau percaya bahawa orang lain sedang menguasai pemikiran mereka dan juga percaya bahawa ada orang yang mahu mencederakan mereka.

      John Nash seorang individu genius dalam bidang matematik mampu membuktikan bahawa walaupun beliau mengalami penyakit skizofernia ini hampir tiga dekad, beliau berjaya mengharungi hidup dan meraih anugerah Nobel Memorial Prize dalam ekonomi.Beliau akhirnya berjaya pulih seperti sediakala dan menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.

      Ini membuktikan bahawa pesakit yang mengidap penyakit skizofenia ini mampu serta boleh disembuhkan dan pesakit ini juga boleh menjalani kehidupan-kehidupan yang normal seperti manusia biasa.Sebelum pesakit skizofernia boleh menjalani kehidupan normal, terdapat usaha-usaha serta rawatan yang berkala bagi mengawal halusinasi yang dialami oleh pesakit ini.Ubat-ubatan untuk menyembuhkan penyakit ini juga masih belum lagi ditemui walaupun penemuan bagi rawatan dan ubatan telah ada.Ini kerana kaedah rawatan serta ubat-ubatan bagi penyakit skizofernia ini hanyalah bersifat untuk meredakan ketegangan pesakit shaja dan bukan untuk menyembuhkan penyakit skizofernia ini secara menyeluruh.

    Pemupukan kasih sayang di antara pesakit skizofernia ini terutamanya melibatkan anggota keluarga serta masyarakat amat dititikberatkan bagi merawat pesakit-pesakit skizofernia.Sikap-sikap tidak meminggirkan pesakit ini juga adalah perlu bagi mewujudkan perasaan tenteram dalam diri pesakit.Oleh itu, segala sokongan serta kerjasama dari semua pihak adalah amat penting bagi mengembalikan semula pesakit ini ke dalam keadaan normal.


RUJUKAN


Azizi Yahaya dan Tan Soo Yin. 2007. Kesihatan Mental. Universiti Teknologi Malaysia. Johor.

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad dan Sharifuddin Ismai. 2006. Kecelaruan tingkah laku. PTS Professional Publishing. Kuala Lumpur.

 H.Buss Arnold & H. Buss Edith. 1969. Theories of Skizophrenia. United States of America :Lorettali.

Ming T.Tsuang. 1982. Schizophrenia :The Facts. New York : Oxford University Press.

Mueser, K.T. dan Gingerich. S. 1995. Coping With Schizophrenia. Oakland, California. New Harbinger Publications, Inc.

Nevide, J.S., Rathus, S.A dan Greene, B. 2000. Abnormal Psychology, Fourth Edition. New Jersey. Prentice Hall.

Nor Zuraida Zainal & Jesjeet Singh Gill.2009.Skizofernia: Penyakit Mental. Kuala Lumpur:        Penerbit UM.

O’brien Patrick.1978. The Disordered Mind ,What we now know about Schizophrenia.,USA: A Spectrum Book.

Sue A. Shapiro. 1960. Contemporary Theories of Schizophrenia. New York : Basic Book
Publishers.

William C. Cockerham. 1995. Sociology of Mental Disorder. Sixth Edition. New Jersey :Upper Saddle River.



1 ulasan:

  1. Rawat masalah skizofrenia anda di Pusat Rawatan Fitrah Healthcare Centre No 7 Jln SG 3/1 Tmn Sri Gombak, Selangor.Setiap penyakit ada penawarnya.Berusaha dahulu kemudian bertawakkal.Insyaallah ada peluang sembuh. 0196676236 -Dr Wan

    BalasPadam