Selasa, 9 April 2013

IBN ‘ARABI TOKOH SUFI AGUNG


IBN ‘ARABI TOKOH SUFI AGUNG



     Tokoh sufi sentiasa berusaha untuk menghasilkan tulisan-tulisan untuk mempertahankan benteng disiplin  kerohanian yang mereka imani. Pada pertengahan kedua abad keenam hijrah muncullah tokoh sufi yang agung iaitu Ibn ‘Arabi iaitu seorang tokoh yang mempunyai kedudukan dan taraf tersendiri dalam sejarah perkembangan bidang kerohanian Islam. Ibn ‘Arabi merupakan tokoh yang mempunyai kontrovesi di satu pihak dan profolik dalam penulisan di pihak yang lain.

   Kontrovesi yang berlaku adalah di sekitar diri dan aliran iaitu apa yang diistilahkan sebagai Wahdah al-Wujud yang dibawanya masih dapat diperhatikan sehingga kini. Pro dan kontra cukup jelas dilihat apabila sebahagian mereka yang pro terhadapnya menganggap Ibn ‘Arabi sebagai wali Allah manakala sekumpulan lagi mengatakannya kafir dan zindiq.

     Namun kehebatan dan ketokohan Ibn ‘Arabi tidak dapat dinafikan kerana beliau merupakan orang yang pertama merakamkan penjelasan dalam bentuk penulisan yang sistematik dan terperinci berkaitan tentang doktrin dan pengajaran ilmu tasawuf yang begitu luas.

RIWAYAT HIDUP

Ibn ‘Arabi atau nama penuhnya Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah al- Hatimi. Beliau telah dilahirkan di Murcia di bahagian Tenggara Andalus pada 17 Ramadhan 560 H ( 28 Julai 1165 M). Beliau berasal dari suku Arab Tulen yang tergolong dalam qabilah Ta’i. Beliau juga digelar seperti Abu Bakr Muhyi al- Din dan Syeikh al – Akbar.

Di sebelah Masriq, beliau lebih dikenali dengan panggilan al-Hatimi  dan Ibn ‘Arabi (tanpa al) untuk membezakannya dengan seorang tokoh lain iaitu al –Qadi Abi Bakr bin al-‘Arabi. Sebaliknya di sebelah Magrib beliau dikenali sebagai Ibn al-‘Arabi (dengan al) dan di Andalus sendiri beliau dikenali dengan panggilan Ibn Saraqah.
            Ibn ‘Arabi adalah dari keturunan sebuah keluarga yang mempunyai status sosial yang baik, berpengaruh dan bertakwa dan kuat berpegang dengan agama. Ini jelas terbukti dengan wujudnya kenyataan bahawa ayahnya Ali bin Muhammad pernah memegang jawatan sebagai wazir dan merupakan tokoh dalam bidang fiqh dan hadith serta terkenal dengan kezuhudan takwa serta mengamalkan ajaran tasawuf.

            Menyorot kepada keturunan beliau, kita dapati bahawa datuknya Muhammad bin Ahmad ialah seorang Qadi dan Ulamak besar di Andalus, manakala tiga orang bapa saudaranya pula tergolong dalam ahli sufi. Ini dinyatakan sendiri oleh beliau dalam Futuhat, Roh al- Quds, dan Muhadarah al-Abar wa Musamarah al-Akhyar.  Ibn ‘Arabi membesar dan memulakan pendidikan awalnya dengan mempelajari bacaan al- Quran dan ilmu Qiraat daripada beberapa orang guru seperti, Abu Bakr bin Muhammad bin Khalaf al-Lakhmi al-Asybili, Abul Qasim asy-Syarrath dan dari Ahmad bin Abi Hamzah. Sementara untuk mendalami bidang fiqh dan hadis dia menekuni fiqh mazhab Ibnu Hazm adz-Dzahiry dan mazhab Imam Malik, pada beberapa guru seperti Ali bin Muhamamd ibnul Haq al-Isybili, Ibnu Zarqun al-Anshary dan Abdul Mun'im al-Khazrajy. 

Dan diriwayatkan bahawa beliau dapat menguasai dengan baik seluruh ilmu yang dipelajarinya sehingga ramai di antara gurunya memberikan keizinan kepada beliau untuk mengajar bagi pihak mereka.
            Sebagai seorang ahli sufi, Ibn ‘Arabi memiliki sahsiah akhlak yang baik dan boleh dijadikan teladan. Keghairahan beliau dalam hubungan ini adalah bertujuan untuk melaksanakan akhlak Tuhan, serta menghayati adab Rasulullah S.A.W. Antara sifat Ibn ‘Arabi ialah beliau amat tidak menyenangi kezaliman dan sering memberi nasihat kepada manusia supaya tidak melanggar hukum syarak dalam kelakuan mereka.  Dalam melaksanakan tujuan ini, beliau kerap menulis surat kepada raja, membantah keputusan  hukuman yang dijatuhi oleh raja dan sebagainya.

            Satu aspek lain yang boleh dianggap mempengaruhi Ibn ‘Arabi memantapkan sahsiah beliau ialah siri pengembaraan yang beliau jalani sepanjang hidupnya.  Pengembaraan yang dilakukan oleh Ibn ‘Arabi boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

Tahap 1: ketika beliau merantau ke beberapa tempat di Andalus. Ini berlaku dalam tempoh 10 tahun pertama selepas beliau memulakan hidup di alam kesufian iaitu antara tahun 580-590H (1184M- 1194M).
Tahap 2: Ketika beliau berulang alik di beberapa tempat dan kota di Utara Afrika dan Andalus. Ini berlaku antara tahun 590 H (1193 m) hingga 597 H (1200 M).
Tahap ketiga: Bermula dengan pemergian beliau ke sebelah Timur meninggalkan Andalus untuk selama-lamanya dan merantau pelbagai tempat dan kota di sana. Tahap ini berlangsung lebih kurang 23 tahun. Pengembaraan Ibn ‘Arabi selama lebih kurang 40 tahun telah memberi kesan yang mendalam ke atas dirinya dalam proses pembinaan peribadi dan sahsiah beliau dalam bidang yang diterokainya. 

Ibn ‘Arabi sepanjang hayatnya telah berkahwin dengan tiga orang wanita pada waktu yang berlainan iaitu Maryam Binti Muhammad bin Abdun yang dinikahi di awal usia remajanya di Seville, Fatimah binti Yunus  bin Yusuf yang dikahwininya di Mekah dan seorang wanita yang dikahwininya di Damsyik. Hasil perkahwinan tersebut beliau dkurniakan tiga orang anak iaitu Sa’d al-Din Muhammad, Imad al-Din Muhammad dan seorang anak perempuan bernama Zainab. Beliau meninggal pada 28 Rabiulakhir 638 H bersamaan dengan 16 November 1240M.

KARYA-KARYA IBN ‘ARABI

Dari aspek penulisan Ibn ‘Arabi merupakan seorang yang ‘profolik’ sehingga sukar ditandingi oleh mana-mana ulamak dan ahli sufi sepanjang sejarah umat Islam. Beliau telah banyak menghasilkan penulisan yang tidak dapat ditandingi oleh penulis. Dalam Kitab al-Burhan al-Azhar fi Manaqib al-Sheikh al-Akbar, karangan Muhammad Rejab Hilmi telah menyatakan tulisan Ibn ‘Arabi berjumlah  284 buah.

Semua  tulisan Ibn ‘Arabi tulis dalam bahasa Arab dengan mengunakan satu gaya bahasa yang tersendiri dan banyak mengandungi perbendaharaan kata yang sangat bersifat teknikal. Keadaan ini menimbulkan kesukaran untuk memahami hasil-hasil tulisan beliau, seperti yang berlaku kepada R.A Nicholson semasa beliau hendak menterjemahkan  Fusus al-Hikam ke dalam Bahasa Inggeris iaitu beliau menjelaskan:
            “ Teori-teori Ibn ‘Arabi dalam Fusus, sukar difahami: lebih sukar lagi, tentunya untuk membuat penjelasannya dan penafsiran, kerana pada banyak ketika bahasanya bersifat istilah khusus dan berupa simbolik yang tersimpul kemas. Sebarang percubaan mentafsirkan secara perkataan demmi perkataan (harfi) tentunya akan meroskkan pengertiannya Tetapi andainya kita biarkan istilah-istilahnya ( tanpa membuat sebarang penafsiran) agak mustahil kita boleh memahami kitabnya dan mustahil pula, kita boleh sampai kepada idea yang jelas yang terkandung dalam pengertiannya

Antara karya yang hebat dihasilkan oleh  Ibn ‘Arabi ialah

  1.   Fusus al-hikam 
  2. Al-Futuhat al-makkiyyaKitab Mawaqi’ al-Nujum wa Matali Ahillat al-Asrar wa  al-‘Ulum (595H)
  3. Kitab Insha’ al-Dawa’ir (598H)
  4. Kitab Tarjuman al-Ashwaq (599H)- diinspirasikan oleh kecantikan dan kewarakan anak gadis sheikh di Mekah, Abu Syaja Zahir bin Rustam
  5. Kitab Mishkat al –Anwar (599H-501H)- Kitab ini berupa satu koleksi daripada hadith Rasulullah S.A.W
  6. Kitab Hilyat al-Abdal (599H)- Risalah berhubung kelebihan golongan sufi
  7. Kitab Taj al-Rasa’il (599-601H)Kitab berkaitan mimpi

  8. Kitab Roh al-Quds Fi Munasahat al-Nafs (600H)-Ditulis khusus dirujuk pada seorang sahabat lama beliau, Abu Muhammad Abd. Al-Aziz bin Abu Bakr al-Qurashi al-Mahdawi yg tinggal di Tunisia.
  9. Kitab Tanazzulat al-Mawsiliyyah (601H)Kitab berkaitan kepentingan wuduk dan sembahyang
  10. Kitab Dhakha’ir al-A’laq (611H)Komentar bait-bait Tarjuman al-Ashwaqnya.
  11. Kitab al-Diwan al-Akbar – Merupakan koleksi-koleksi besar syair-syair tasawuf yang dicipta oleh Ibn ‘Arabi.
Jelasnya, penulisan Ibn ‘Arabi yang banyak ini telah meninggalkan sesuatu yang amat bermakna dalam tradisi ilmu pemikiran umat Islam.

PEMIKIRAN IBN ‘ARABI BERKAITAN WAHDAH AL-WUJUD

Nama Ibn ‘Arabi sudah menjadi hampir sinonim dengan doktrin wahdat al-wujud. Logik kepada pertumbuhan anggapan di atas adalah terletak pada sudut pandangan Ibn ‘Arabi yang didapati menegaskan perihal keesaan seluruh wujud sebagai yang boleh ditemui dalam tulisan-tulisan beliau khususnya di dalam Fusus al –Hikam dan al-Futuhat al- Makiyyah. Sekadar untuk menunjukkan beberapa contoh yang berhubung, maka kenyataan beliau boleh diberikan perhatian :

-Engkau bukannya Dia (al-Haq) bahkan engkau adalah Dia dan engkau dapat melihat Nya pada ‘ayn setiap benda (sama ada) tidak terhad atau terhad.

-Maha suci (Tuhan) yang paling nyata daripada segala perkara ( di mana) ia adalah makhluk dan makhluk pula al-Khaliq. Segala itu adalah dari ‘Ayn yang tunggal’. Tidak bahkan Dia adalah suatu ‘Ayn yang tungga dan Dia ( pada waktu yang sama ) adalah ‘Ayn yang banyak.

-Sesungguhnya telah putus kata di kalangan golongan muhaqqiqin bahawa tidak ada apa-apa yang wujud selain Allah. Sekiranya kita memiliki wujud, maka wujud kita itu adalah denganNya. Sesiapa juga yang sujud menerusi sesuatu yang lain, (sebenarnya) dia dihukumkan sebagai ‘adam.

*Kenyataan-kenyataan Ibn ‘Arabi sebagaimana yang di atas secara jelasnya  memperlihatkan tentang betapa beliau memiliki sudut pandangan bahawa kewujudan seluruhnya adalah ‘satu’ iaitu al-haq, tidak lebih dan tidak kurang.

    Walaupun kenyataan Ibn ‘Arabi adalah pelbagai, namun satu hal adalah amat penting untuk diketengahkan, iaitu sudut pandangan beliau yang melihat bahawa segala sesuatu yang wujud itu adalah satu, tidak pula mengandungi unsur-unsur makna yang terbawa ke arah kesamaan. Dalam maksud bahawa al-Haq di satu pihak dan alam semesta di pihak yang lain, namun Ibn ‘Arabi melihat ia sebagai yang tidak sama walaupun ‘satu’.

     Perihal ketidaksamaan antara al-haq dan al-Khaliq atau alam semesta adalah dapat diertikan secara jelas bilamana Ibn ‘Arabi dalam Fusus misalnya ada mengatakan secara terang betapa alam semesta, yang terutamanaya diwakili oleh insan, berbeza secara asasinya daripada al-Haq iaitu perbezaan yang berlaku pada aspek yang berhubung dengan kewujudan di mana al-haq,dan cuma al-Haq mengikut Ibn ‘Arabi adalah memiliki unsur al-wujud dalam kewujudan lalu dia tidak memerlukan kepada apa-apa pun juga dalam aspek itu sedangkan al-Khalq adalah berada dalam ifitqar yang amat sangat untuk mendapatkan kewujudan dalam ‘segala sesuatu’ yang wujud. 

     Seterusnya dapat dijelaskan lagi bahawa apa yang dikatakan sebagai Wahdat al- Wujud dari sudut pandangan Ibn ‘Arabi adalah tidak ada kena-mengena dengan sebarang unsur ‘kebendaan’ (maddi) yang biasanya antara lainnya mengarah kepada pegangan bahawa kepelbagaian gejala-gejala alam semesta seluruh apa yang dinamakan sebagai ‘wujud’ dan seluruh apa yang dinamakan sebagai ‘hakikat’.
Tetapi sebaliknya apa yang dikatakan sebagai wahdat al-Wujud dari penglihatan Ibn ‘Arabi adalah suatu aliran yang benar-benar bersifat kerohanian (ruhi) yang mahu menghujahkan bahawa unsur ketuhanan memainkan peranan dan mengambil tempat utama, dalam mana al-Haq diyakini sebagai suatu hakikat yang azali serta memiliki kewujudan yang maha mutlak lagi wajib, sehingga Dia merupakan asas kepada wujud-wujud yang lain.

      Sehubungan dengan penguasaan unsur ruhi dalam sudut pandangan Ibn ‘Arabi inilah makna ‘Abd al-Halim Mahmud telah cuba menamakan apa yang berlaku di sekitar sudut pandangan Ibn ‘Arabi itu sebagai al- Wujud al-Wahid bukannya Wahdah al-Wujud adalah merujuk kepada kewujudan Allah yang tidak sedikit pun berhajat kepada apa jua benda lain. Dialah yang wujud yang hakiki, yang memberi dan mengurniakan wujud kepada setiap ka’in yang diingininya di setiap saat yang tidak berkesudahan. Aspek al-Wujud al-Wahid inilah yang mahu ditegaskan oleh golongan sufi termasuklah Ibn ‘Arabi. Mereka merasakan kehebatan pengawasan dan penguasaan mutlak Allah yang tidak dapat disangkal apabila saja membaca ayat-ayat Allah dalam al-Quran antaranya seperti :
 Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa mengetahui                                   
 (Surah al-Baqarah 2:115)

Dialah yang awal dan yang Akhir dan yang zahir serta yang Batin; dan Di lah yang Maha    mengetahui akan tiap - tiap sesuatu. 
(Surah al-Hadid 57:3)
                                                                                                                    
      Segalanya memberi gambaran bahawa Allahlah yang menghulurkan wujud kepada setiap yang mawjud, dalam kekuasaanNya negatif dan positifnya segala perkara, demikian pula wujud dan ‘adanya semua benda. Dialah yang memberikan kebolehan berdiri kepada setiap yang berdiri, membolehkan kebolehan berjalan kepada setiap yang bergerak. Itulah segala apa yang dikatakan sebagai al-Wujud al-Wahid.

Rujukan:

Zakaria Stapa. 1993. Ibn ‘Arabi Tokoh Sufi (560/638H- 1165M/1240M). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rom Landau.2008. The Philosophy of  Ibn ‘Arabi. London: Routledge, Taylor & Francis Group.

Sabtu, 6 April 2013

'Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang'
       'Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W'